|

7 Khasiat Kunyit Untuk Kesihatan

Khasiat kunyit untuk kesihatan

Hari ini saya nak share tentang 7 khasiat kunyi untuk kesihatan yang ramai orang tidak tahu. Khasiat kunyit sebenarnya jauh lebih banyak daripada apa yang kita sangka. Selain digunakan sebagai rempah penambah warna dan aroma dalam masakan seperti gulai, rendang dan kari, kunyit juga telah lama digunakan sebagai herba tradisional kerana mempunyai banyak manfaat kepada tubuh badan.

Para penyelidik telah membuat kajian, kandungan aktif dalam kunyit yang dipanggil kurkumin (curcumin) mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang yang mana walaupun ia bukanlah ubat untuk merawat penyakit, tetapi pengambilan kunyit sebagai sebahagian daripada diet yang sihat boleh memberi pelbagai manfaat kepada tubuh badan.

1. Membantu Mengurangkan Keradangan

Keradangan dalam badan adalah tindak balas semula jadi apabila berlaku kecederaan atau jangkitan. Jika keradangan berlaku secara berpanjangan, ia boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik. Di sinilah kurkumin dalam kunyit berperanan membantu mengurangkan proses keradangan dalam badan.

Sebab itu bagi orang yang tahu betapa berkhasiatnya kunyit, akan mengamalkan minum air kunyit atau memasukkan kunyit ke dalam masakan harian sebagai salah satu cara menjaga kesihatan tubuh badan secara semula jadi.

2. Kaya dengan Antioksidan

Sekarang ini, badan kita mudah terdedah kepada radikal bebas daripada pencemaran udara, asap rokok, tekanan dan pemakanan yang kurang sihat hampir setiap hari. Radikal bebas yang berlebihan boleh membantu mempercepatkan proses penuaan dan merosakkan sel-sel dalam badan.

Kandungan antioksidan dalam kunyit boleh membantu melindungi sel-sel badan daripada rosak akibat radikal bebas. Sebab itu lah, kunyit dianggap sebagai salah satu herba yang sesuai diamalkan untuk menjaga kesihatan dalam jangka masa panjang.

3. Menjaga Kesihatan Sistem Penghadaman

Dalam perubatan tradisional zaman berzaman, kunyit telah lama digunakan untuk merawat dan menjaga kesihatan sistem penghadaman. Kunyit boleh membantu menyelesaikan masalah penghadaman jika kita sering rasa tidak selesa selepas makan.

Bagi sesetengah orang, kunyit boleh mengurangkan rasa kembung, angin dalam perut dan rasa tidak selesa selepas makan makanan yang berminyak. Walaupun kesannya berbeza bagi setiap orang, kunyit masih menjadi pilihan ramai sebagai herba semula jadi untuk menjaga kesihatan usus.

4. Membantu Menjaga Kesihatan Jantung

Gaya hidup yang baik akan meyumbang kepada kesihatan jantung. Selain bersenam dan menjaga pemakanan, kunyit juga dipercayai memberi manfaat kepada sistem kardiovaskular.

Beberapa kajian menunjukkan kurkumin berpotensi membantu memperbaiki fungsi saluran darah serta mengurangkan tekanan oksidatif. Walaupun penyelidikan masih diteruskan, memasukkan kunyit dalam diet harian merupakan pilihan yang baik sebagai sebahagian daripada amalan hidup sihat.

5. Menyokong Fungsi Otak

Selain itu, salah satu khasiat kunyit untuk kesihatan yang ramai orang tidak tahu ialah potensinya dalam menjaga kesihatan otak.

Menurut kajian, kurkumin mungkin membantu melindungi sel-sel otak daripada tekanan oksidatif dan keradangan. Walaupun masih memerlukan lebih banyak kajian, penemuan ini membuktikan kunyit mempunyai potensi yang besar dalam menjaga fungsi otak apabila diamalkan bersama gaya hidup sihat.

6. Membantu Menyokong Sistem Imun

Kunyit sering menjadi salah satu pilihan untuk membantu meningkatkan daya tahan badan terutamanya pada musim hujan atau cuaca tidak menentu kerana kandungan sebatian semula jadinya.

Pengambilan kunyit sebagai sebahagian daripada pemakanan seimbang boleh membantu menjaga sistem imun agar badan lebih sihat dan bersedia menghadapi cabaran harian.

7. Baik untuk Kesihatan Kulit

Sejak turun-temurun, kunyit dikenali sebagai bahan tradisional untuk penjagaan kulit seperti dijadikan sebagai masker dan sabun homemade, tetapi tidak semua orang tahu bahawa manfaatnya juga boleh diperoleh melalui pemakanan.

Kandungan antioksidan dalam kunyit membantu melindungi sel kulit daripada rosak akibat radikal bebas. Melalui pemakanan yang seimbang dan penjagaan kulit yang betul, kunyit boleh menjadi salah satu bahan semula jadi untuk menjaga kesihatan kulit.

Cara Pengambilan Kunyit

Kita boleh menikmati khasiat kunyit dalam pelbagai cara mengikut kesesuaian masing-masing. Antaranya ialah;

  • Digunakan dalam masakan harian seperti gulai, kari, rendang dan singgang.
  • Dijadikan minuman kunyit bersama air suam atau sebagai jamu.
  • Dicampurkan ke dalam susu atau minuman herba.
  • Diambil dalam bentuk serbuk atau suplemen atas nasihat profesional kesihatan.

Untuk membantu penyerapan kurkumin, kunyit sering digabungkan dengan sedikit lada hitam kerana kandungan piperine di dalamnya boleh meningkatkan penyerapan kurkumin oleh badan.

Adakah Semua Orang Sesuai Mengambil Kunyit?

Walaupun kunyit dianggap selamat apabila dimasukkan dalam masakan, pengambilan dalam jumlah yang banyak atau dalam bentuk suplemen mungkin tidak sesuai untuk semua orang.

Orang yang sedang mengambil ubat pencair darah, mempunyai masalah batu hempedu atau wanita hamil disarankan mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil suplemen kunyit secara berkala. Seperti mana-mana makanan atau herba lain, pengambilan secara sederhana adalah pilihan yang terbaik.

Kesimpulan

Tidak dinafikan, terdapat banyak khasiat kunyit untuk kesihatan yang ramai orang tidak tahu. Daripada membantu mengurangkan keradangan, menyokong sistem penghadaman, menjaga kesihatan jantung sehinggalah membekalkan antioksidan kepada tubuh, kunyit sememangnya layak mendapat tempat dalam pemakanan harian.

Namun begitu, kunyit bukanlah penawar ajaib. Ia memberikan manfaat terbaik apabila diamalkan bersama pemakanan yang seimbang, senaman yang konsisten dan gaya hidup yang sihat.

Jika anda belum menjadikan kunyit sebagai sebahagian daripada diet harian, mungkin inilah masanya untuk mula mencuba. Sedikit demi sedikit, amalan kecil ini boleh menjadi pelaburan yang baik untuk kesihatan pada masa hadapan.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *