Cara Meluangkan Masa Berkualiti Bersama Keluarga

Cara meluangkan masa berkualiti bersama keluarga semakin penting dalam kehidupan yang serba sibuk hari ini. Walaupun ramai sibuk bekerja dan mengurus pelbagai tanggungjawab, meluangkan masa bersama keluarga adalah pelaburan yang tidak ternilai.
Hari ini, kita semakin sibuk dengan pelbagai aktiviti dan tuntutan kerja sehingga lupa betapa pentingnya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Tidak dinafikan, ramai antara kita yang lebih fokus kepada kerjaya dan pelbagai urusan harian lain, hingga terlupa untuk luangkan masa bersama keluarga tersayang sedangkan ianya jauh lebih bernilai daripada hadiah yang mahal dan percutian mewah.
Ada orang, dia rasa dengan hanya berada dirumah itu sudah cukup. Hakikatnya, dengan duduk serumah sahaja tak bermakna kita benar-benar meluangkan masa Bersama. Contohnya suami sibuk dengan telefon, isteri pula menghadap televisyen manakala anak leka dengan permainan video.
Situasi ini boleh menyebabkan hubungan semakin renggang walaupun dibawah satu bumbung. Padahal untuk luangkan masa berkualiti bersama keluarga tak perlukan kos yang tinggi dan tak perlukan perancangan yang rumit. Yang penting ialah kehadiran, perhatian dan kesungguhan kita untuk mencipta kenangan bersama.
Kenapa Masa Berkualiti Bersama Keluarga Sangat Penting?
Tempat pertama kita belajar tentang kasih sayang, hormat-menghormati dan nilai kehidupan ialah melalui keluarga. Hubungan yang rapat dalam keluarga mampu memberi kesan emosi yang sangat besar, terutamanya ketika kita menghadapi tekanan dan cabaran hidup.
Anak-anak akan lebih mudah berkongsi cerita, meluahkan perasaan dan membina kepercayaan apabila sering meluangkan masa Bersama ibu bapa. Selain itu, hubungan antara suami dan isteri juga akan menjadi lebih erat apabila sentiasa mempunyai masa untuk berbual dan melakukan aktiviti bersama.
Masa berkualiti bersama keluarga bukan hanya untuk mengisi masa lapang, tetapi juga menjadi pelaburan jangka panjang untuk kebahagiaan sekeluarga. Sebab itulah kita perlu cari cara meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
1. Jadikan Waktu Makan Sebagai Masa Bersama.
Antara cara meluangkan masa berkualiti bersama keluarga yang paling mudah ialah makan bersama. Nampak biasa, namun aktiviti ini sebenarnya memberi peluang kepada setiap ahli keluarga berkongsi cerita tentang hari mereka.
Anak-anak bercerita tentang sekolah, ibu berkongsi cerita di tempat kerja manakala ayah pula boleh bertanya khabar semua ahli keluarga. Jangan pegang atau bermain telefon bimbit ketika waktu makan.
Berikan sepenuh perhatian kepada perbualan. Jangan terkejut jika banyak perkara yang dikongsikan apabila semua ahli keluarga benar-benar mendengar antara satu sama lain.
2. Lakukan Aktiviti Ringkas Di Rumah
Untuk mencipta kenangan bahagia Bersama keluarga tak semestinya perlu keluar bercuti setiap hujung minggu. Cukup dengan melakukan aktiviti bersama di rumah seperti:
- Memasak bersama
- Membuat kek atau biskut
- Bermain permainan papan
- Menonton filem keluarga
- Berkebun di halaman rumah
- Mengemas rumah secara gotong-royong
Aktiviti yang sederhana seperti ini sebenarnya lebih kerap diingati berbanding percutian yang mahal kerana semua ahli keluarga terlibat bersama-sama.
3. Tetapkan Hari Khas Untuk Keluarga
Sibuk dengan kerja sering menjadi alasan untuk tidak meluangkan masa berharga bersama keluarga. Untuk itu, kita boleh tetapkan satu hari khas setiap minggu sebagai “Hari Keluarga.” Contohnya setiap malam Jumaat atau hari Ahad.
Pada hari tersebut, elakkan membawa pulang kerja ke rumah jika boleh. Fokuskan masa untuk keluarga sahaja. Cukup sekadar makan malam bersama, berjalan di taman sambil berbual atau menikmati minuman kegemaran. Apabila kerap dilakukan, ia akan menjadi rutin yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli keluarga.
4. Kurangkan Penggunaan Telefon Ketika Bersama
Ini mungkin antara cabaran paling besar pada zaman sekarang. Sering kali kita duduk bersama keluarga, tetapi mata lebih banyak memandang skrin telefon berbanding wajah orang di hadapan.
Cuba buat peraturan mudah seperti “tiada telefon selama satu jam” ketika bersama keluarga. Gunakan masa tersebut untuk berbual, bermain atau melakukan aktiviti bersama. Percayalah, media sosial masih ada selepas itu. Tetapi masa bersama keluarga tidak akan kembali jika dibiarkan berlalu begitu sahaja.
5. Libatkan Anak Dalam Aktiviti Harian
Sebenarnya, kerja rumah juga boleh menjadi masa berkualiti untuk sekeluarga jika ibu bapa turut melibatkan anak-anak. Contohnya:
- Melipat pakaian bersama
- Menyusun barang dapur
- Menanam pokok bunga
- Mencuci kereta
- Menghias ruang tamu
Anak-anak akan rasa dihargai kerana diberi peluang membantu. Pada masa yang sama, anak-anak akan belajar tentang tanggungjawab dan erti bekerjasama.
6. Luangkan Masa Beriadah Bersama
Melakukan aktiviti luar bersama keluarga bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Kita boleh memilih aktiviti seperti:
- Berjalan di taman
- Berbasikal
- Berkelah
- Bermain badminton
- Mendaki bukit yang sesuai untuk keluarga
Aktiviti fizikal membantu mengurangkan tekanan dan memberi peluang untuk berbual dalam suasana yang lebih santai. Tidak perlu jauh atau mahal. Taman rekreasi berhampiran rumah pun sudah memadai.
7. Sambut Perkara Kecil Bersama
Tak perlu tunggu apabila ada majlis besar seperti Hari Raya atau kenduri untuk berkumpul bersama keluarga. Perkara kecil juga boleh diraikan. Contohnya;
- Anak mendapat keputusan peperiksaan yang baik
- Hari lahir ahli keluarga
- Berjaya memasak menu baharu
- Ayah mendapat kenaikan pangkat
- Anak berjaya menunggang basikal tanpa bantuan
Raikan dengan makan malam bersama atau sekadar membeli kek kecil. Perkara seperti inilah yang akan menjadi kenangan manis suatu hari nanti.
8. Berbual Tanpa Gangguan
Perbualan yang ikhlas mampu menguatkan hubungan kekeluargaan. Luangkan sekurang-kurangnya 15 hingga 30 minit sehari untuk berbual tanpa gangguan. Tanya soalan yang mudah seperti;
- “Macam mana hari awak hari ini?”
- “Apa perkara paling seronok berlaku hari ini?”
- “Ada apa-apa yang buat awak risau?”
Soalan ringkas seperti ini mampu membuka ruang komunikasi yang lebih baik, terutama dengan anak-anak remaja.
9. Cipta Tradisi Keluarga Sendiri
Dalam keluarga kita boleh wujudkan tradisi tersendiri. Contohnya seperti;
- Sarapan bersama setiap Ahad
- Menonton filem setiap malam Sabtu
- Membaca buku sebelum tidur
- Percutian keluarga sekali setahun
- Memasak menu istimewa setiap bulan
Tradisi seperti ini akan menjadi identiti keluarga dan sering dikenang walaupun anak-anak sudah dewasa nanti.
10. Hargai Masa Bersama Walaupun Sekejap
Ramai beranggapan masa berkualiti mestilah berjam-jam lamanya. Sebenarnya tidak. 20 minit yang penuh perhatian jauh lebih bermakna daripada duduk bersama selama berjam jam tetapi masing-masing sibuk dengan telefon. Apa yang penting ialah kehadiran kita secara fizikal dan emosi.
Apabila bersama keluarga, cuba benar-benar hadir. Dengar apabila mereka bercakap, ketawa bersama mereka dan nikmati setiap detik yang ada.
Cabaran Meluangkan Masa Bersama Keluarga
Bagi ibu bapa yang bekerja, bukan mudah untuk selalu meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Namun, jangan jadikan kesibukan itu sebagai alasan. Mulakan dengan perubahan kecil. Walau sesibuk mana pun perlu cari cara meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Mungkin hari ini kita hanya sempat makan malam bersama selama 30 minit. Esok pula berjalan di taman selama sejam. Lama-kelamaan, aktiviti kecil ini akan menjadi rutin yang mengeratkan hubungan keluarga. Ingat, anak-anak tidak akan sentiasa kecil. Ibu bapa juga semakin meningkat usia. Masa yang berlalu tidak boleh diulang kembali.
Hakikatnya, cara meluangkan masa berkualiti bersama keluarga bukanlah tentang berapa jumlah wang yang perlu dibelanjakan atau sejauh mana destinasi percutian yang dipilih. Yang lebih penting ialah perhatian, kasih sayang serta kesanggupan untuk benar-benar hadir bersama orang yang kita sayang.
Ayuh kita mulakan dengan perkara kecil hari ini. Letakkan telefon seketika, ajak keluarga minum petang bersama, berbual tentang hari masing-masing atau sekadar berjalan di sekitar kawasan rumah. Mungkin nampak biasa, tapi detik-detik seperti inilah yang akhirnya menjadi kenangan paling bahagia.
Perkara yang paling kita ingat bukanlah berapa banyak kita bekerja, tapi siapa yang ada di samping kita ketika mencipta kenangan indah dalam kehidupan. Akhirnya, cara meluangkan masa berkualiti bersama keluarga bukanlah tentang berapa banyak wang yang dibelanjakan, tetapi sejauh mana kita benar-benar hadir untuk orang yang kita sayang.
