Muhasabah Diri: Belajar Bersyukur Dengan Nikmat Allah

Pernah tak kita rasa hidup ni macam tak cukup? Dah ada kerja, masih rasa kurang. Dah ada rumah, tapi masih membandingkan dengan rumah orang lain. Allah kurniakan kita dengan keluarga yang menyayangi kita tapi masih ada rasa tak puas hati.
Perasaan itu boleh datang kepada sesiapa sahaja. Sebab itulah muhasabah diri belajar bersyukur dengan nikmat Allah sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Allah kurniakan kita dengan pelbagai nikmat, tapi ada ketika kita terlalu sibuk melihat apa yang orang lain ada sehingga terlupa mensyukuri apa yang kita ada.
Dengan muhasabah diri, tidak bermaksud kita menyalahkan diri sendiri. Sebaliknya ia adalah proses merenung kembali perjalanan hidup kita, memperbaiki kesilapan dan mengingatkan diri bahawa segala nikmat yang kita miliki adalah milik Allah SWT.
Mengapa muhasabah diri sangat penting? Dalam kesibukan dengan kerja, keluarga dan pelbagai tanggungjawab kita jarang berhenti sejenak dan bertanya kepada diri sendiri.
“Adakah aku semakin dekat dengan Allah SWT?”
“Adakah aku benar-benar mensyukuri nikmat yang Allah SWT berikan?”
Muhasabah diri membantu kita menilai semula hati. Menyedarkan kita bahawa kebahagiaan tidak datang dengan banyaknya harta semata-mata, tetapi daripada hati yang sentiasa bersyukur.
Melatih diri untuk sentiasa bermuhasabah, membuatkan kita lebih mudah menerima ujian, kurang mengeluh dan lebih menghargai setiap perkara kecil dalam hidup.
Kadang-kadang kita sendiri tidak sedar bahawa hati semakin jauh daripada sifat syukur.
Antara tandanya ialah:
- Sentiasa membandingkan diri dengan orang lain. Apabila terlalu banyak membandingkan diri dengan orang lain, kita mula lupa bahawa Allah juga telah memberikan rezeki yang sesuai dengan kemampuan dan keperluan kita.
- Mudah Mengeluh. Sedikit masalah sudah membuatkan kita mengeluh. Cuaca panas mengeluh. Jalan sesak mengeluh. Kerja banyak mengeluh. Sedangkan masih ramai di luar sana yang diuji dengan kesakitan, kehilangan ahli keluarga atau kesempitan hidup.
- Jarang mengucapkan Alhamdulillah. Lidah mungkin mudah menyebut “Alhamdulillah”, tetapi adakah hati benar-benar merasainya? Syukur bukan sekadar ucapan, sebaliknya rasa menghargai dan mensyukuri setiap nikmat yang Allah berikan.
Antara Cara Kita Belajar Bersyukur Dengan Nikmat Allah.
1. Mulakan hari dengan mengingati nikmat Allah.
Sebaik sahaja bangun tidur, cuba fikirkan tiga nikmat yang Allah berikan kepada kita. Masih boleh bernafas. Masih diberi peluang hidup. Masih mempunyai keluarga. Nampak mudah, tetapi latihan kecil ini mampu mengubah cara kita melihat kehidupan.
2. Kurangkan membandingkan kehidupan.
Jangan membandingkan hidup kita dengan orang lain. Menjadikan kejayaan orang lain sebagai inspirasi tidak salah, tetapi jangan sampai kita hilang rasa syukur kerana terlalu melihat apa yang dimiliki oleh orang lain. Setiap orang mempunyai jalan hidup yang berbeza dan Allah memberikan rezeki mengikut hikmah-Nya.
3. Biasakan mengucap Alhamdulillah.
Apabila mendapat berita baik, ucapkan lah Alhamdulillah. Selesai makan ucapkan Alhamdulillah. Apabila pulang ke rumah dengan selamat, ucap lah Alhamdulillah. Ucapan yang ringkas ini sebenarnya mendidik hati kita supaya sentiasa mengingati Allah.
4. Lihat mereka yang lebih susah.
Di saat kita rasa hidup sangat mencabar dan diuji dengan pelbagai masalah, lihat lah orang lain yang lebih susah daripada kita. Ada yang hilang tempat tinggal, sedang sakit atau hidup dalam serba kekurangan. Ini akan menyedarkan kita bahawa nikmat Allah kepada kita sebenarnya sangat banyak. Bukan untuk buat kita rasa lebih baik daripada orang lain, tetapi supaya hati kita lebih menghargai dan mensyukuri apa yang dimiliki.
5. Perbanyakkan sedekah.
Antara cara paling berkesan untuk belajar bersyukur ialah dengan berkongsi rezeki. Tidak semestinya memberi wang yang banyak. Memberi makanan, membantu jiran atau berkongsi ilmu juga adalah sedekah. Apabila memberi, kita akan lebih sedar bahawa segala rezeki sebenarnya hanyalah pinjaman daripada Allah.
Nikmat Allah yang selalu kita lupakan.
Kita sering menghargai sesuatu selepas kehilangannya. Nikmat kesihatan, masa, Ibu bapa, pasangan, anak-anak, sahabat, udara yang kita sedut, nikmat tidur, nikmat melihat, nikmat mendengar… semuanya nampak biasa sehingga lah suatu saat bila kita mulai kehilangannya sedikit demi sedikit. Sebab itu, muhasabah diri belajar bersyukur dengan nikmat Allah mengajar kita supaya menghargai dan mensyukuri segala nikmat sebelum ia ditarik semula.
Bersyukur ketika diuji.
Ramai yang bersyukur ketika hidup senang. Tetapi bersyukur ketika diuji jauh lebih sukar. Namun, di situlah letaknya kekuatan seorang mukmin. Setiap ujian mempunyai hikmah yang mungkin belum kita fahami hari ini.
Mungkin Allah sedang menghapuskan dosa. Mungkin Allah sedang mengangkat darjat kita atau mungkin Allah sedang menyediakan sesuatu yang jauh lebih baik. Bersyukur tidak bermaksud kita gembira dengan ujian, tetapi kita yakin bahawa Allah tidak pernah merancang sesuatu dengan sia-sia.
Muhasabah sebelum tidur.
Luangkan masa lima minit sebelum tidur. Tanya pada diri, apa kebaikan yang telah aku lakukan hari ini? Adakah aku menjaga solat? Adakah aku sakitkan hati orang lain? Sudahkah aku bersyukur atas nikmat Allah hari ini? Amalan kecil ini membantu kita menjadi insan yang lebih baik sedikit demi sedikit.
Kesimpulannya, muhasabah diri belajar bersyukur dengan nikmat Allah bukanlah sesuatu yang perlu dilakukan sekali-sekala, tetapi ianya amalan yang perlu dibiasakan setiap hari. Apabila kita belajar melihat setiap nikmat sebagai anugerah daripada Allah, hati akan menjadi lebih tenang, jiwa lebih lapang dan kehidupan terasa lebih bermakna.
Kita mungkin tidak memiliki segala yang diinginkan, tetapi percayalah, Allah telah memberikan banyak perkara yang sebenarnya jauh lebih bernilai. Kesihatan, keluarga, sahabat, rezeki, iman dan peluang untuk terus beribadah adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Semoga kita semua menjadi hamba yang sentiasa bermuhasabah, memperbaiki diri dan tidak pernah lupa mengucapkan syukur atas setiap nikmat yang Allah SWT kurniakan.
